Friday, October 2, 2009

IBADAT HAJI - UMRAH DAN ZIARAH

d. Perempuan Datang Haid atau Nifas Semasa Mengerjakan Haji
Perempuan haid atau nifas dalam masa mengerjakan haji tidak lepas dari tiga keadaan. Walau bagaimanapun pada tiap-tiap keadaan itu maka tidaklah haid atau nifas menegah seseorang perempuan daripada menunaikan kerja-kerja ibadat haji seperti berniat haji atau umrah, wuquf di Arafah, sa'ie, bermalam di Muzdalifah, melontar jamrah-jamrah dan kecuali tawaf.
1. Keadaan Pertama:-
Perempuan mengerjakan haji dengan cara tamattu' (mengerjakan umrah dahulu sebelum mengerjakan haji) sama ada haid atau nifas itu datangnya sebelum ihram atau semasa berihram, manakala ia sampai di Makkah, hendaklah ia menunggu hingga suci. Sekirannya ia suci sebelum berangkat ke Arafah menunaikan ibadat haji maka hendaklah ia mengerjakan tawaf (tawaf umrah) kemudian bersa'ie dan bergunting. Sesudah itu semasa hendak berangkat ke Arafah hendaklah memakai ihram dan berniat ihram haji.
Jika haid atau nifas itu terus berlaku hingga ia hendak berangkat ke Arafah maka hendaklah ia berniat ihram haji ketika itu dan jadilah ianya Haji Qiran. Oleh kerana itu, wajiblah ia menyempurnakan dam sebagai "Dam Qiran" dengan syarat-syarat yang tertentu.
2. Keadaan Kedua:-
Perempuan yang haid mengerjakan haji dengan cara Ifrad atau Qiran hendaklah ia menyem- purnakan semua manasikul haj (kerja-kerja haji) kecuali tawaf. Tawaf hendaklah dikerjakan setelah ia bersuci.
3. Keadaan Ketiga:-
Sekiranya haid atau nifas itu masih berkekalan pada salah satu daripada dua keadaan seperti yang dinyatakan hingga waktu berangkat keluar dari Makkah untuk pulang ke negerinya, maka hendaklah ia menunggu hingga suci untuk mengerjakan tawaf, jika boleh. Jika tidak, bolehlah ia bertahallul dengan tahallul ihsar dengan menyembelih kambing dan bergunting dengan niat tahallul. Pada ketika itu halallah apa-apa yang diharamkan di dalam ihram. Tetapi sebelum itu hendaklah ia keluar ke suatu tempat yang perjalanannya sekira-kira tak berdaya ia balik dari tempat itu ke Makkah kerana menyempurnakan tawaf dan jika haji fardhu, wajib ia mengerjakan tawaf pada masa hadapan. Demikian juga sa'ie sekiranya ia belum disempurnakan.

No comments: