Friday, October 16, 2009

MENSIA-SIAKAN HIDUP ADALAH SUATU KERUGIAN

Kebanyakan orang mensia-siakan bahagian hidup mereka yang baik untuk hal-hal yang tidak hakiki. Mereka menghabiskan banyak waktu dengan hal-hal yang tidak berguna. Biasa terjadi kepada para pemalas yang hanya duduk-duduk dan membiarkan waktu berlaku begitu sahaja kerana ia tidak memiliki hal lain yang lebih baik untuk dilakukan. Kegiatan tanpa tujuan seperti ini boleh ditemui pelbagai tempat terutama di bar dan kelab.
Kita ambik contoh sebuah rumah. Rumah tidak sepatutnya dihiasi dan dilengkapi dengan barang-barang mewah sehingga anak-anak sebaliknya menjadi tetamu yang tidak dikehendaki. Ada rumah yang pernah saya kunjungi, mengandungi hiasan yang begitu indah sehingga keseluruhan ruang menjadi tidak terpakai. Seharusnya fungsi rumah yang pertama adalah tempat yang nyaman untuk diduduki. Kedua, rumah harus merupakan tempat indah yang boleh digunakan mahupun dikagumi. Jangan kita menjadikan rumah sebagai kawasan larangan demi untuk menjaga keindahannya.
Hidup terlalu singkat untuk disia-siakan. Apabila seseorang terlambat datang memenuhi jemputan atau pertemuan jangan biarkan hal ini merosakkan keseluruhan hari kita.
Dalam rangka mendapatkan yang terbaik dari hidup, kita harus mengatur pengerahan tenaga dan harus mengarahkan ke arah yang tepat. Kita harus belajar menyingkirkan segala ketidaksenangan kecil yang bukan hanya melukai kita tetapi juga melukai orang lain.
Kita selalu mengamalkan budaya lepak terutama apabila berjumpa kawan-kawan di kedai kopi. Banyak masa yang dibazirkan dengan hanya sembang-sembang kosong dan minum-minum. Pembaziran waktu dan tenaga seperti ini adalah amat mengecewakan. Seharusnya masa itu digunakan bagi peningkatan diri, pembudayaan diri, membantu orang lain atau mengerjakan sesuatu yang berharga.

No comments: