Saturday, October 10, 2009

HAJAR ASWAD

KELEBIHAN HAJAR ASWAD
Hajar Aswad banyak mempunyai kelebihan dan antara kelebihannya ialah:-
1. Berasal dari batu syurga (yaqut) yang mulia:-
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:-
"Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim merupakan dua biji batu daripada syurga. Allah s.w.t. telah menghilangkan cahaya pada kedua-duanya. Jika tidak, nescaya cahaya kedua-duanya akan menerangi di antara timur dan barat."
2. Hajar Aswad mendapat kelebihan dan ketinggian:-
Kelebihan dan ketinggian ini tidak diberikan kepada batu-batu yang lain. Kedudukannya berada di penjuru rumah Allah yang mulia. Ditambah lagi dengan kucupan Rasulullah s.a.w. kepadanya, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh nabi-nabi sebelumnya. Hajar Aswad menjadi tempat pertemuan bibir para nabi, orang-orang soleh, para jemaah haji dan umrah di sepanjang lipatan sejarah. Ia juga menjadi permulaan dan berakhirnya tawaf, sekaligus ia adalah tempat doa yang mustajab (dikabulkan doa).
3. Hajar Aswad akan menjadi saksi:-
Hajar Aswad kelak akan menjadi saksi kepada orang-orang yang telah menyalami (menziarah dan mengusapnya) dengan kebenaran pada Hari Kiamat.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
"Demi Allah, Allah s.w.t. akan membangkitkannya pada Hari Kiamat kelak, baginya dua mata. Dia akan melihat dengannya, menjadi saksi kepada sesiapa saja yang telah mengusapnya dengan kebenaran."
Menurut riwayat Ibnu Khuzaimah yang bermaksud:-
"Hajar Aswad akan dibangkitkan pada Hari Kiamat besarnya seperti Bukit Uhud di Madinah."
Ada juga riwayat mengatakan ianya sebesar Bukit Abi Qubais di Makkah.
4. Mengucup Hajar Aswad dan mengusap Rukun Yamani dapat menghapuskan doa:-
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Mengusap Rukun Yamani dan mengucup Hajar Aswad akan menghapuskan kesalahan (dosa)."
Ibnu Abbas r.a. mengatakan:-
"Rasulullah s.a.w. tidak mengusap tangannya melainkan pada Hajar Aswad dan Rukun Yamani."
Abdullah bin Umar r.a. mengusap Hajar Aswad kemudian mengucup tangannya dan berkata:-
"Aku tidak pernah meninggalkannya semenjak aku melihat Rasulullah s.a.w. melakukannya."
5. Rasulullah s.a.w. sangat mengambil berat terhadap Hajar Aswad dan memuliakannya:-
Suwaid bin Ghafalah telah berkata:-
"Saya lihat Umar r.a. mengucup Hajar Aswad dan berada berhampiran dengannya sambil berkata, "Aku lihat Rasulullah s.a.w. sangat mengambil berat (menghormati, mengucup mengusap) engkau."
Lalu Umar bin Al-Khattab r.a. mengucup Hajar Aswad dan berkata:-
"Aku tahu kamu hanyalah sebiji batu yang tidak dapat memberi musibah mahupun memberi manfaat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah s.a.w. mengucupmu, aku tidak akan melakukannya."
Hikmah daripada ucapan Umar:-
"Engkau tidak dapat memberi musibah mahupun memberi manfaat."
Menurut ulama', Umar berkata sedemikian kerana pada ketika itu manusia sangat dekat dengan zaman penyembahan berhala, maka dibimbangi akan ada orang jahil yang menyangka bahawa mengucup Hajar Aswad adalah sama dengan perbuatan orang jahiliyah yang mengagungkan berhala. Maka Umar r.a. ingin mengajar mereka bahawa mengucup Hajar Aswad adalah bertujuan untuk membesarkan Allah s.w.t. semata-mata dan mengikuti ajaran Rasulullah s.a.w. Perbuatan tersebut juga termasuk dalam amalan haji yang telah diperintah oleh Allah s.w.t.
Perbuatan tersebut berbeza dengan amalan jahiliyah kerana mereka menyangka perbuatan menyembah berhala adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka Umar r.a. memberi peringatan agar membezakan perbuatan ini daripada i'tiqad jahiliyah, bahawa ibadat tidak dilakukan kecuali kepada Tuhan yang boleh memberi mudharat dan manfaat iaitu hanya kepada Allah s.w.t.
Rahsia mengapa orang kafir tidak menyembah Hajar Aswad atau Ka'bah:-
Sheikh Mohd. Tahir al-Kurdi rahimahullah berkata:-
"Antara perkara yang patut disebut dan diambil perhatian ialah, amalah orang Arab di zaman jahiliyah adalah menyembah batu, khasnya batu-batu Makkah dan Tanah Haram. Namun tidak ada riwayat yang mengatakan mereka telah menyembah Hajar Aswad atau Maqam Ibrahim, dalam keadaan mereka cukup menghormati dan menjaganya. Setelah kami taammul (perhati) rahsia disebaliknya, jelas ia merupakan 'ismah (pemeliharaan) daripada Allah s.w.t. kerana sekiranya ia disembah pada zaman jahiliyah kemudian datang Islam membesarkannya dengan arahan agar mengucupnya serta melakukan solat di belakang Maqam Ibrahim, maka orang munafik dan seteru Islam akan berkata, Islam menerima penghormatan kepada berhala dan masih wujud unsur-unsur syirik. Orang yang pernah menyembahnya pula akan terus berpegang kepada kepercayaannya. Untuk itu Allah s.w.t. telah menjaganya semenjak dari zaman Nabi Ibrahim a.s. hingga ke hari ini, daripada disembah oleh orang jahil, sama seperti pemeliharaan-Nya terhadap Ka'bah."
e. Beberapa Hukum mengenai Hajar Aswad:-
1. Sunat mengucup atau mengusapnya pada bila-bila masa
2. Sunat mengucup atau mengusapnya ketika mula melakukan tawaf
3. Sunat meletakkan muka ke atasnya ketika mengucupnya
4. Sunat mengucup atau mengusapnya ketika ingin keluar ke Safa untuk melakukan sa'ie
5. Mengucupnya dengan cara tidak mengeluarkan bunyi seperti mencium anak
6. Istilam Hajar Aswad boleh dilakukan dengan mengucup atau mengusapnya dengan tangan atau dengan tongkat atau dengan mengisyaratkan tangan ke arahnya, kemudian mencium apa yang diisyaratkan kepadanya
7. Kaum wanita hendaklah mencari waktu yang sesuai agar tidak bercampur dengan lekaki
8. Tidak menyakiti orang lain sewaktu berebut untuk mengucupnya
9. Tidak berhenti di garisan Hajar Aswad sewaktu melambaikan tangan, khasnya pada waktu orang ramai kerana ianya akan menganggu perjalanan orang yang sedang menunaikan tawaf dan akan menyakiti orang lain.

No comments: