Friday, October 9, 2009

IBADAT HAJI - UMRAH DAN ZIARAH

TAWAF WADA'
Tawaf Wada' ialah tawaf selamat tinggal untuk memuliakan dan menghormati Baitullahil Haram di Makkah. Sesiapa yang hendak meninggalkan Makkatul Mukarramah dalam jarak dua marhalah (91 km) atau lebih walaupun buat sementara waktu, wajib melakukan Tawaf Wada'.
1. Hukum mengerjakan Tawaf Wada':-
Hukum mengerjakan Tawaf wada' adalah wajib. Oleh kerana itu sesiapa juga yang hendak meninggalkan Makkah dan bermusafir dalam jarak jauh yang diharuskan qasar sembahyang iaitu dua marhalah ke atas atau pulang ke tempat kediamannya atau ke suatu tempat yang ia akan bermukim, sekalipun dalam tempoh empat hari yang sempurna dan jarak jauhnya dari Makkah tiada sampai dua marhalah, sama ada ia penduduk Makkah atau bukan penduduk Makkah, sama ada ia seorang yang tidak berihram atau seorang yang berihram yang telah selesai menyempurnakan ibadat haji atau umrahnya, maka wajib ke atasnya melakukan Tawaf Wada' pada ketika hendak meninggalkan Makkah.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-
"Tidak meninggalkan oleh seseorang akan Baitullahil Haram melainkan setelah Tawaf Wada".
2. Hukum meninggalkan Tawaf Wada':-
Sesiapa yang wajib melakukan Tawaf Wada' tetapi ia keluar tanpa Wada', ia telah melakukan dosa dan wajib baginya kembali untuk bertawaf selagi belum sampai ke jarak jauh yang membolehkan qasar sembahyang iaitu dua marhalah dari Makkah atau belum sampai ke rumahnya atau tempat ia bermukim.
Apabila ia sampai kepada dua marhalah di dalam perjalanannya atau sampai ke rumahnya atau sampai ke tempat ia bermukim padanya, sekalipun rumahnya dan tempat yang bermukim itu tiada sampai dua marhalah dari Makkah, tiada wajib ia kembali ke Makkah untuk bertawaf dan wajib di atasnya membayar dam. Jika perjalanannya belum sampai dua marhalah atau belum sampai ke rumahnya atau ke tempat ia bermukim dan ia kembali mengerjakan tawaf maka gugurlah daripadanya dam.
3. Orang-orang yang dikecualikan Tawaf Wada' tidak berdosa dan tidak dikenakan dam:-
a. Perempuan yang haid atau nifas atau yang mustahadah di dalam tempoh haid.
b. Orang yang berpenyakit salisalbaul (sering keluar air kencing) atau seumpamanya
c. Orang yang luka dan darahnya mengalir tidak dapat ditahan serta boleh menajiskan masjid
d. Orang yang dipaksakan meninggalkan Tawaf
e. Orang yang takut kepada orang zalim yang akan melakukan kezaliman ke atasnya
f. Orang yang takut ditinggalkan oleh teman sepelayaran
g. Orang yang takut daripada peminta hutang, sedangkan ia tidak berupaya menjelaskan hutangnya
h. Orang yang takut kepada sesuatu yang akan merbahaya ke atas dirinya atau kehormatan dirinya
i. Orang yang tiada mempunyai air dan tanah untuk bertaharah
Mereka yang tersebut itu mempunyai sebab atau keuzuran yang menggugurkan dosa dan dam

No comments: