Saturday, October 10, 2009

PANDUAN MUSAFIR

ADAB-ADAB BERMUSAFIR
Di antara adab-dab yang telah digariskan oleh Islam adalah seperti berikut:-
1. Niat musafir kerana Allah s.w.t.
Di dalam keadaan ini tentulah musafir atau perjalanan tersebut dinilai sebagai salah satu aktiviti ibadah selama mana perjalanan tersebut tidak dicemari dengan perbuatan-perbuatan maksiat yang dilarang oleh Allah s.w.t. Disamping itu juga setiap perbuatan yang dilakukan dan diniatkan kerana Allah tentunya akan mendapat rahmat dan lindungan daripada Allah s.w.t.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
"Tidak seorang pun yang keluar dari rumahnya kecuali ada dua panji-panji, iaitu salah satu di antarannya berada di tangan malaikat sedang yang lainnya di tangan syaitan. Maka jika keluarnya itu untuk sesuatu urusan yang disukai Allah s.w.t. ia akan diiringi oleh malaikat dengan panji-panjinya. Demikianlah ia akan selalu berada di bawah panji-panji malaikat sampai ia kembali ke rumahnya. sebaliknya jika keluarnya itu untuk sesuatu hal yang dimurkai Allah, maka orang itu akan diiringi oleh syaitan dengan panji-panjinya. Dan demikianlah ia akan selalu di bawah panji-panji syaitan sampai ia pulang kembali ke rumahnya."
- Riwayat Ahmad dan Tabrani
2. Sunat sebelum memulakan musafir, mandi dengan niat musafir
Memang menjadi kebiasaan bagi seseorang sebelum bermusafir mereka akan mandi untuk menyegarkan tubuh badan. Seandainya tersebut diniatkan dengan mandi musafir sudah tentu akan mendapat dua kelebihan:-
a. menyegarkan badan
b. pahala
Cara mandi sunat musafir:-
a. lafaz niat mandi musafir:-
"Sahaja aku mandi musafir kerana Allah Taala."
b. meratakan air ke seluruh tubuh badan seperti mandi biasa
3. Sunat mendirikan Solat Sunat Musafir sebelum memulakan perjalanan
Solat sunat ini hendaklah dilakukan sebanyak dua rakaat dengan niat dan harapan semoga perjalanan yang akan dilalui selamat daripada segala bahaya dan tercapai matlamat
Cara-cara Solat Sunat Musafir:-
a. lafaz niat ketika takbiratul ihram:-
"Sahaja aku solat sunat musafir dua rakaat kerana Allah Taala
b. pada rakaat pertama baca surah Al-Fatihah dan surah Al-Kaafirun
c. pada rakaat kedua baca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas
Setelah selesai daripada solat maka berdoalah meminta agar Allah s.w.t. memberikan keselamatan, kemudahan serta memberkati perjalanan yang hendak dilakukan. Di antara doa yang baik untuk dibaca adalah seperti berikut:-
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kesesatan atau disesatkan, daripada tergelincir atau digelincirkan, daripada melakukan kezaliman atau dizalimi dan daripada kebodohan atau diperbodohkan."
4. Sunat memulakan musafir pada hari Khamis
Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. jika ia bermusafir, jarang ia berangkat selaindaripada hari Khamis.
5. Sunat membawa teman ketika bermusafir
Maksud hadis dari Ibnu Umar r.a. :-
"Bahawa Rasulullah s.a.w. melarang bersendiri, ertinya bila seseorang itu menginap atau bermusafir seorang diri."
- Riwayat Ahmad
6. Sunat meminta kaum keluarga atau para sahabat yang ditinggalkan supaya mendoakan keselamatan kita ketika musafir.
ADAB/PERATURAN SEBELUM KELUAR MUSAFIR
Apabila seseorang itu berazam untuk memulakan perjalanan jauh, maka hendaklah terlebih dahulu ia melakukan perkara-perkara berikut:-
1. Berwasiat mengenai perkara yang memerlukan wasiat dan hendaklah ada saksinya
2. Bertaubat kepada Allah s.w.t. terhadap segala dosa dan memohon keselamatan daripada-Nya sepanjang perjalanan
3. Menyelesaikan segala hutang-piutang yang amsih belum selesai jika berkemampuan menyelesaikannya pada masa tersebut
4. Memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa dan keluarga di atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan
5. Sunat bagi orang yang ingin bermusafir mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang ditinggalkan seperti kaum keluarga dan sebagainya.
TAMBAHAN:-
1. Baca ayat Kursi tiga kali
2. Baca surah Al-Ikhlas sekali
3. Baca surah Al-Falaq sekali
4. Baca surah An-Naas sekali
5. Baca surah Al-Fatihah sekali
6. Baca doa keluar rumah:-
"Dengan nama Allah aku berserah diri kepada Allah, tiada daya dan tiada kekuatan aku melainkan dengan pertolongan Allah."
6. Baca doa naik kenderaan:-
"Dengan nama Allah, segala pujian hanya bagi Allah, Maha Suci Allah Tuhan yang telah mengarahkan kenderaan ini tunduk kepada kami. sedangkan kami sebelum ini tidak mampu mengendalikannya dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami."
7. Baca doa ketika kenderaan hampir bergerak:-
"Dengan nama Allah pada waktu berangkat dan waktu mendarat, sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

No comments: