ADAT RESAM KAUM KADAZANDUSUN
Masyarakat Kadazandusun terdiri dari pelbagai kelompok di berbagai daerah di Sabah dan masing-masing mempunyai adat resam yang sedikit berlainan. Namun sekarang terdapat kesedaran untuk bersatu sebagai satu kaum.
Walaupun kini sebahagian besar masyarakat Kadazandusun telah beragama Kristian tetapi secara tradisi telah ada konsep ketuhanan di kalangan mereka disebut "Kinorohingan". Dari keturunan inilah maka manusia berada di dunia dengan membawa nilai dan adat yang sedia ada.
Demikian juga roh manusia yang meninggal dunia akan berpindah ke Gunung Kinabalu yang disebut mereka sebagai "Aki Nabalu". Dari sana roh-roh akan berpindah pula ke tempat lain sebagai syurga dan neraka.
Untuk mempastikan manusia dan roh terselamat maka masyarakat mengamalkan hukum adat sebagai peraturan kehidupan. Maka adat membentuk kelakuan supaya benar dan betul. segala pelanggaran terhadap adat akan menerima hukuman dari yang ringan hingga yang berat seperti hukuman mati. Hukuman yang ringan termasuklah membayar "sogit/sugit" iaitu denda terhadap suatu kesalahan yang dikenakan oleh Ketua Masyarakat dan juga Mahkamah Anak Negeri.
Adat mengatur semua corak kehidupan dari beranak hingga kepada kematian. Dari sejak dalam kandungan seorang ibu sudah menghadapi pelbagai pantang larang agar sentiasa baik dan selamat. Ketika itu juga bidan (manninikau) telah ditentukan yang akan menguruskan kelahiran anak.
Setelah kelahiran lebih banyak lagi pantang larang yang dikenakan untuk keselamatan ibu. Anak juga dijaga supaya tidak dirasuk oleh roh jahat. Pada hari ke 8 anak dicukur dan diberi nama dengan segala jampi serapahnya.
Perkahwinan di kalangan masyarakat Kadazandusun berlaku menurut hukum adat dan bermula dari merisik. Adat "mintarom" melarang perkahwinan sumbang antara anggota keluarga yang rapat. Selepas risikan dan tidak ada bermimpi buruk maka pertunangan dirasmikan dengan pemberian cincin.
Untuk perkahwinan akan diadakan adar menghantar yang terdiri dari pelbagai alatan seperti gong dan tajau bergantung kepada taraf ibu bapa dalam masyarakat. Selepas itu diadakan pesta perkahwinan yang mengikat keduanya sebagai suami isteri.
Adat kematian melibatkan anggota keluarga dan masyarakat umum. Anggota keluarga menjaga mayat dari roh jahat dengan tidur berdekatan. kemudian mayat dibersihkan, dimandikan, dipakaikan pakaian dan dikebumikan bersama barang persendirian ketika hidup. Disepanjang upacara ini pelbagai pantang dan larang dikenakan kepada keluarga dan orang awam untuk menjaga kesejahteraan kampung dan penduduknya.
Hukum adat adalah segala peraturan hidup mereka. Kesalahan melanggar sugit dalam semua aspek kehidupan berkeluarga, hak peribadi, hak kampung halaman dan juga perhubungan dengan awam.
Demikian juga d=hidup manusia dalam alam adalah bersama dengan berbagai makhluk halus yang baik mahupun yang jahat. Maka adat itu menjaga hubungan ini kerana takut berlaku perlanggaran dan menyebabkan roh itu mengenakan kesakitan kepada manusia. Dalam hubungan dengan alam ghaib inilah "bobohizan" memainkan peranan penting untuk menjaga perimbangan hubungan itu. "Bobohizan" akan menggunakan mentera, jampi dan serapah untuk berhubung dan memohon kebaikan dari roh yang menghuni alam ghaib.
Sama seperti masyarakat lain yang bertani maka orang Kadazandusun mempunyai pelbagai upacara berkaitan pertanian, yang berkait masyarakat umum dan juga diri orang persendirian. Upacara pertanian kini menjadi perayaan tahunan "Keamatan". Upacara masyarakat pula berkaitan pembersihan kampung, menghalau penyakit dan memohon kepada roh supaya melindungi mereka. Demikian juga masyarakat memainkan peranan untuk menanam nilai rohani ke dalam anggotanya demi keselamatan.
No comments:
Post a Comment