Sekolah adalah merupakan sebuah organisasi di mana guru besar adalah sebagai seorang ketua. Ketua sebagai pemimpin tidak kira besar mana pun organisasi tersebut. Sewajarnya sebagai seorang pemimpin mempunyai ciri-ciri kepemimpinan. Jika dilihat, kepemimpinan itu adalah satu fenomena yang kompleks. Meskipun sudah terlalu banyak kajian mengenainya dibuat, namun kita masih belum memahaminya dengan jelas.
Setiap kajian yang dibuat maka akan lahirlah beberapa teori, kesimpulan umum dan pandangan yang boleh kita gunapakai. Ia juga adalah suatu pengetahuan yang wajar kita faham dan ambil tahu agar kita dapat mengenalinya dengan lebih dekat. Sememangnya teori yang dilahirkan tersebut tidak lengkap namun setelah ianya diperhalusi, maka ia boleh digunakan mengikut kesesuaian.
Untuk membincangkan kepemimpinan, kita perlu memahami beberapa perkara yang perlu. Untuk menjelaskan perkara-perkara tersebut, pelbagai soalan akan muncul:
1. Apakah kepemimpinan?
2. Apakah pentingnya kepada sesebuah organisasi?
3. Apakah stail-stail kepemimpinan dan implikasinya?
4. Apakah teori-teori kepemimpinan yang ada hingga kini?
5. Bagaimanakah suatu kepemimpinan itu dikategorikan terbaik?
6. Apakah perbezaan bentuk kepemimpinan dulu dan sekarang?
Dari kepemimpinan maka akan lahirlah pemimpian. Pemimpin ialah seseorang individu yang terdapat dalam sesuatu kumpulan yang diberi tanggungjawab mengarah dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti untuk mencapai matlamat kumpulan itu. Sehubungan itu, kepemimpinan bermakna proses mempengaruhi kegiatan kumpulan ke arah pencapaian sesuatu hasil yang telah dirancangkan.
Ada juga yang berpendapat bahawa perkataan "kepemimpinan" itu mempunyai erti yang amat mendalam. Bagi mereka, seseorang pemimpin itu dianggap orang yang boleh mendorong setiap pengikutnya untuk bekerja kuat bagi menghasilkan sesuatu yang berharga. Bagaimanapun ada juga yang berpendapat bahawa pemimpin adalah sebagai orang yang membantu lebih daripada orang yang menaikkan semangat atau mengarah. Walau apa-apa pun pandangan, pada asanya pemimpin adalah gabungan semua sifat berikut, pengarah, pendorong dan pembantu.
No comments:
Post a Comment