Friday, December 18, 2009

GURU BESAR DAN PENDIDIKAN UNTUK MASA HADAPAN

Setelah memikirkan dengan serius tentang perkara-perkara dasar, guru besar harus merenung sejenak dan mengimbas kembali apakah sebenarnya tujuan perkara-perkara dasar itu digubal?

Setiap orang dari kita harus jelas dari awal-awal lagi bahawa pendidikan yang kita beri kepada anak-anak "hari ini" adalah untuk kehidupan mereka pada "hari esok". Dunia mengalami perubahan dengan pesat. Kita sukar meramalkan apakah bentuknya dalam tahun2020 dan selepasnya nanti. Apa yang pasti ialah dunia pada ketika itu sangat berbeza dari yang sekarang. Oleh kerana itu sangat tidak munasabah kita asaskan pendidikan kita kepada zaman silam atau kepada satu sahaja aspek (versi) zaman akan datang.

Kita mesti memberi kepada mereka kefahaman tentang isu-isu yang penting, masalah dan peluang-peluang yang mereka perlukan untuk menyambung hidup mereka yang berterusan. Persiapan diri mereka untuk menghadapi keadaan yang tidak menentu dalam suasana perubahan yang cepat. Sebagai guru dan pendidik, kita harus melihat kepentingan pendidikan yang kita tawarkan kepada kumpulan yang terlibat iaitu pelajar, masyarakat dan kita sendiri sebagai guru.

PELAJAR
"Kenapa saya mesti ke sekolah?". Pernyataan awal ini biasanya dijawab dengan mudah. "Untuk mendapatkan pendidikan", atau "Undang-Undang berkehendakkan yang demikian". Jawapan seperti ini sebenarnya memperlihatkan alasan-alasan yang cetek. kita telah lari dari isu yang sebenar iaitu mengapa setiap kanak-kanak mesti dididik? Mengapa undang-undang berkehendak begitu?.

Jawapan adalah banyak. Umpamanya, "pendidikan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat". "Pendidikan membolehkan mereka menjadi rakyat yang bertanggungjawab". "Pendidikan membolehkan mereka mendapat wang yang lebih banyak". "Pendidikan membolehkan mereka merasai nikmat hidup yang lebih tinggi" dan lain-lain lagi.

Apa juga alasan sama ada untuk tujuan "suci" atau untuk tujuan "materialistik", tema yang kita ingin sampaikan kepada generasi muda kita ialah "pendidikan baik untuk anda kerana ia kan menguntungkan anda di masa hadapan". Kita nampaknya lupanya lupa kepada hakikat ini. Kita menganggap kanak-kanak dan orang dewasa, pelajar yang sedang belajar dan pengguna pelajaran yang sudah tamat belajar, hidup sebelah menyebelah pada masa yang sama dalam zaman yang serupa. Sekolah-sekolah dalam tahun 2009 misalnya seolah-olah menyediakan kanak-kanak untuk hidup dalam tahun 2009 juga.

MASYARAKAT
Kepada masyarakat, pendidikan penting kerana ia menentukan penerusan hidup (survival). Ia juga untuk kesejahteraan dan kelicinan perjalanan urusan seharian. Kita sekarang sedang mengajar warganegara yang akan menjadi generasi utama tahun 2020 dan kualiti mereka ini nanti bergantung kepada kualiti pendidikan yang kita beri pada hari ini.

GURU
Ramai guru memilih untuk menjadi pendidik kerana ingin berkhidmat kepada negara dan ingin menyumbang kepada kemajuan masyarakat. Setiap guru juga akan menerima faedah bila pendidikan dilaksanakan dengan baik dan profesion perguruan dihormati. Namun kepada kebanyakan guru, mendidik adalah seronok. Tambahan pula bila melihat murid-murid yang diajar riang dan gembira menerima pelajaran.

Murid-murid yang berminat dengan dapat menerima pelajaran lebih banyak dan mengingati dengan lebih mudah akan menjadi guru lebih berbangga. Minat murid akan bertambah apabila mata pelajaran yang diajar dihubungkan dengan keperluan masa depan mereka. Soalan "Mengapa kita harus belajar mata pelajaran ini?", perlu diberi perhatian serius kerana ia ada kaitan dengan masa akan datang.

Sebagai pendidik, kita harus berpandangan jauh agar kanak-kanak yang kita didik hari ini dapat menyesuaikan diri di masa hadapan dan dapat hidup dengan riang dan gembira, bukannya muram dan murung. Kita harus ingat salah satu tujuan pendidikan ialah memberi kemajuan kepada manusia.

RUMUSAN
Seperti yang dinyatakan dari awal lagi, guru besar perlu sedar bahawa kegiatan-kegiatan kurikulum dan kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah adalah perincian daripada dasar yang besar. Kalau dia berjaya melaksanakannya, bererti dia berjaya memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Sebaliknya kalau gagal, bermakna dia tidak membantu ke arah itu.

Untuk lebih jelas, diberi contoh yang mudah, kalau seorang guru besar disesebuah sekolah, kecil atau besar, berjaya mengubah akhlak murid-murid dari kurang baik kepada yang lebih baik, maka dia sesungguhnya memberi sumbangan yang besar kepada negara kerana salah satu matlamat pendidikan kebangsaan ialah mengeluarkan warganegara yang berdisplin dan bertanggungjawab.

Begitu juga kalau guru besar berjaya mengeluarkan murid-murid yang pandai membaca, menulis dan mengira, dia juga telah membri sumbangan yang besar kepada negara. Ia adalah merupakan salah satu lagi matlamat pendidikan iaitu mengeluarkan warganegara yang berilmu pengetahuan.

Setelah mendapat gambaran keseluruhan yang jelas, setelah faham akan asas-asas perkhidmatannya, maka guru besar akan sedar segala sumbangan positif yang diberikan sekecil mana sekali pun adalah sumbangan yang bermakna kepada negara.

Tidak akan timbul rasa kecewa apabila sesuatu tindakannya yang baik tidak dilihat oleh sesiapa. Lagi pun guru besar akan merasakan tugasnya mempunyai matlamat atau arahtuju yang jelas. sesudah kukuh pendiriannya, maka guru besar bolehlah bergerak memainkan peranannya sebagai pemimpin.

4 comments:

kembara kelana said...

banyak input yang baik...bang, jumpa razif kuala kangsar dalam seminar baru ni..

amalhaj said...

Cikgu Razif = Guru Besar muda yg cemerlang. Tambah seorg lagi sahabat adik...

Unknown said...

Salam. Kupasan yang menarik untuk dinilai oleh para pendidik dan khayalayak umum. Saya akan linkkan blog saudara dengan blog isteri saya yang juga seorang guru/pendidik.

amalhaj said...

terima kasih atas kesudian... teman nih pun buah cempedak diluar pagar.....