Friday, December 25, 2009

BERSATU MENENTUKAN KEMENANGAN

Islam amat menggalakkan umatnya supaya bekerja dengan penuh muhibbah, kasih sayang dan kemesraan di antara pekerja dengan pekerja dan pekerja dengan majikan di dalam semua jenis lapangan perkhidmatan , asalkan ia tidak melanggar hukum-hukum syarak.

Hubungan seperti ini dapat kita lihat iaitu yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan Khalifah Al-Rasyiddin semasa menjalankan pentadbiran dalam masyarakat berbilang kaum dan agama yang telah dapat melahirkan kerjasama, tolong menolong dan kasih sayang yang amat erat di kalangan mereka.

Hubungan sesama manusia dalam menjalankan semua jenis perkhidmatan untuk kebajikan bersama adalah diberi nilai yang tinggi dan bagi orang Islam ianya dianggap sebagai satu ibadah.

KISAH DAN TELADAN

Pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah telah berlaku satu peperangan antara orang-orang Islam dengan orang-orang Kafir di sekitar Kota madinah. Peperangan ini dikenali di dalam sejarah Islam sebagai perang "Ahzab" yang bererti gabungan dari beberapa golongan orang-orang kafir untuk menumpaskan Islam dan umat Islam. Perang ini juga dikenali sebagai perang "Khandak" yang bererti parit. Ini disebabkan salah satu dari strategi perang dalam peperangan ini ialah dengan menggali sebuah parit di sekitar Kota Madinah.

Sebelum terjadi peperangan ini Nabi Muhammad s.a.w. telah bermesyuarat dengan para sahabat mengenai strategi perang. Salman Al-Farisi yang mengusulkan kepada Rasulullah s.a.w. supaya menggali sebuah parit yang dalam dan lebar di sebelah utara Kota Madinah manakala bahagian lain dikawal sewajarnya dan usul Salman ini diterima.

Parit yang besar dan dalam digali dengan segera. Kaum muslimin bekerjasama berganding bagu melaksanakan tugas ini. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri ikut serta menyumbangkan tenaga sehingga benteng pertahanan Kota Madinah selesai dibina. Kemudian berlakulah peperangan. Allah s.w.t. telah memberi kemenangan kepada pihak muslimin.

2 comments:

Unknown said...

Salam tuan. Saya membaca dan mempelajari sejarah Perang Ahzab semasa sekolah. Sehingga sekarang saya tidak dapat menggambarkan bagaimana bentuk parit yang dibina sehingga pasukan Islam menang dalam peperangan itu. Semesti parit itu tidak seperti parit yang berada di kawasan rumah kita. Saya ragu bahawa istilah parit yang kita gunakan untuk ahzab itu betul. Mungkin ada istilah lain yang lebih tepat, seperti cerun besar atau lain-lain. Wallahualam.

amalhaj said...

assalamualaikum, tuan.
begitulah mengikut pembacaan, parit tersebut terlalu besar untuk diseberangi walaupun dengan kuda. mungkin ada istilah lain sepatutnya digunakan.