Thursday, December 24, 2009

ADEKE PEMIMPIN MENGKOME BEGINI?

Amanah merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar di sekitar AMANAH yang telah diletakkan ke atas dirinya.

Manusia tidak tidak boleh melepaskan dirinya dari menunaikan AMANAH yang telah dibebankan kepadanya oleh kehendak-kehendak kehidupan. Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang merupakan satu urusan yang mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan.

Setiap orang adalah bertanggungjawab untuk memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku dalam urusan pentadbiran kerana itu adalah satu AMANAH yang dipikulkan kepadanya. Setiap orang mesti menunaikan AMANAH kepada Tuhannya, dirinya, keluarganya, majikannya, negaranya dan masyarakat seluruhnya.

KISAH DAN TELADAN

Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah salah seorang daripada khalifah kerajaan Bani Umayyah yang terkenal dengan sifat amanahnya. Pada suatu malam ketika baginda sedang tekun menyiapkan kerja rasminya dalam bilik istana, tiba-tiba salah seorang puteranya telah masuk untuk membincangkan suatu hal yang berhubung dengan urusan keluarga. Setelah puteranya duduk, baginda pun memadamkan lampu yang berada di atas mejanya, yang digunakan oleh baginda ketika baginda bekerja pada malam itu.

Puteranya merasa hairan lalu bertanya: "Kenapa ayahanda padamkan lampu ini? Bukankah lebih baik kita berbincang di bawah cahaya lampu yang terang?"

Khalifah Umar pun menjawab: "Benar katamu wahai anakku tetapi engkau harus ingat, lampu yang sedang ayahanda gunakan untuk bekerja sebentar tadi adalah kepunyaan kerajaan, minyak yang digunakan itu dibeli dengan wang kerajaan, sedangkan perkara yang hendak kita bincangkan ini adalah urusan keluarga."

Kemudian baginda menyuruh seorang pelayan supaya membawa lampu yang lain dari dalam biliknya. Setelah lampu itu dinyalakan maka baginda pun berkata kepada puteranya: "Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyaknya pun kita beli dengan wang kita sendiri. Sila kemukakan apa yang anakanda hendak bincangkan dengan ayahanda."

No comments: