Friday, December 18, 2009

YANG HALAL DAN YANG HARAM

Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:-
"Makanlah oleh kamu makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh."
(Al-Mu'minun: 51)

Melalui ayat ini, Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada kita supaya memakan makanan yang baik-baik yang bermaksud yang halal. Selepas itu barulah Dia memerintahkan kita berbuat amal soleh. Makanan yang halal dimakan akan menjadikan tubuh kita menjadi bersih dan barulah Allah s.w.t. dapat menerima amal ibadat dari seorang hambaNya yang bersih.

Apakah yang dimaksudkan dengan makanan yang halal? Dalam kontek ini ianya merangkumi bagaimana makanan tersebut diperolehi. Allah s.w.t. melarang memakan makanan dari hasil yang tidak baik. Ini meliputi dengan mendapatnya dengan cara menipu, merampas hak orang lain, mencuri, merompak, rasuah dan lain-lain. Semua perbuatan tersebut adalah haram hukumnya. Hasil dari perbuatan yang haram juga adalah haram digunakan sama ada dalam bentuk makanan, minuman dan sebagainya.

Ini jelas sekali melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-
"Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan batil".
(Al-Baqarah: 188)

Mencari yang halal itu merupakan suatu kewajipan atas setiap insan muslim, sebagaimana yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud:-
"Menuntut yang halal itu wajib atas setiap muslim."
(Hadis Riwayat Ibnu Mas'ud)

Setiap usaha kita akan menjurus kepada dua iaitu ke arah yang halal atau pun yang haram. Mengapa perlu kita memilih yang ditegah (haram) sedang yang disuruh (halal) masih terbentang luas di muka bumi ini? Setiap perbuatan yang halal akan membawa ke arah kebaikan yang membolehkan kita dimasukkan ke syurga. Apabila kita mengusahakan sesuatu yang haram pula, akan diancam dengan seksaan yang kekal di dalam neraka.

Firman Allah s.w.t. dalam firmannya yang bermaksud:-
"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim sebenarnya mereka itu menelan api sepnuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)".
(An-Nisa': 10)

Jelas kepada kita, setiap perkara yang disuruh atau dilarang melakukannya akan menerima pembalasan dari Allah s.w.t. di akhirat kelak. Gambaran yang jelas menampakkan kepada kita bahawa agama Islam sangat keras sekali dalam memberi batasan halal dan haram serta hukum-hukumnya. Hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:-
"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, melalui ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w telah diterangkan dengan jelas mana-mana yang halal dan mana-mana yang haram. Sehingga dengan mudah kita dapat membezakannya untuk seterusnya mengerjakan yang halal dan menjauhi yang haram dalam segala aktiviti kehidupan kita.

No comments: