Oleh kerana manusia itu semakin kompleks, maka guru besar terpaksa meneliti semula peranannya. Dia harus mencari pengertian sebenar perkataan "guru besar". Pada diri seseorang guru besar itu sebenarnya terdapat ciri-ciri ketua dan ciri-ciri orang tua. Ketua yang unggul mampu memimpin. Dia biasanya mempunyai pendidikan lebih dari atau sekurang-kurangnya sama dengan orang lain. Dia sanggup berkorban kerana tugas dan boleh melaksanakan tugas yang diamanahkan. Manakala orang tua pula ialah seorang ahli falsafah kerana pengalaman mengajarnya untuk banyak berfikir. Dia mempunyai kebijaksanaan lebih daripada orang lain. Dia menjadi tempat rujukan.
Guru besar yang mempunyai ciri-ciri inilah barangkali yang dihormati. Bila diteliti, nyata guru besar ini sangat faham mengenai empat perkara pokok yang menjadi asas pekerjaannya sebagai pendidik:-
1. Falsafah
2. Pendidikan
3. Profesionalisme
4. Kepemimpinan
Falsafah adalah unsur yang terdapat pada orang tua. Kepimpinan ada pada ketua. Manakala pendidikan dan profesionalisme adalah unsur-unsur yang ada pada guru besar. Untuk menjadi pengurus, pentadbir atau pemimpin yang baik, unsur-unsur pendidikan dan profesionalisme sahaja tidak memadai. Unsur falsafah dan unsur kepimpinan (orang tua dan ketua) harus digemblengkan bersama. Bila keempat-empatnya sebati, guru besar akan menjadi pemimpin pendidikan dan pemimpin sekolah yang baik.
Falsafah ialah suatu pernyataan umum, sama ada tersirat atau tersurat, yang dibuat, hasil dari pemikiran, renungan dan pemerhatian yang mendalam mengenai sesuatu hal. Pernyataan ini membuat seseorang berfikir lantas berusaha untuk merealisasikan sesuatu.
Guru besar sebagai orang tua semestinya sangat faham akan falsafah-falsafah diri, falsafah organisasi dan falsafah negara. Lebih-lebih lagi sebagai seorang pendidik, dia sangat arif tentang falsafah-falsafah mengenai pendidikan. Dia faham apa yang tersurat dan apa yang tersirat:-
"Kalau ingin memetik hasil dalam masa setahun, tanamlah bijirin. Kalau ingin memetik hasil dalam masa sepuluh tahun, tanamlah pokok. Kalau ingin memetik hasil dalam masa seratus tahun, tanamlah manusia."
Dia tahu falsafah seperti yang ternyata itu dan dia tahu mesej yang hendak disampaikan:-
1. Sesuatu usaha, kalau ingin mendapat hasil, perlu kepada rancangan yang teliti.
2. Rancangan yang dibuat harus meliputi tiga peringkat (jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang)
3. Membentuk manusia itu sangat sukar, masa yang diambil untuk mendapatkan hasil daripada rancangan pembentukan manusia itu adalah sangat panjang.
4. Manusia itu adalah sesuatu yang hidup dan berkembang. Kita tidak boleh menahan perkembangan ini. Kita hanya boleh memandu dan dengan cara yang bijaksana kerana manusia itu adalah suatu kejadian yang halus dan lembut. Kalau tersilap pandu, walaupun jasadnya membesar, akalnya, rohnya dan emosinya akan kosong.
Sebagai ketua pula, guru besar faham tentang kepimpinan. Dia tahu kepimpinan ialah proses mempengaruhi orang-orang bawahan untuk membuat sesuatu sebaik mungkin. Oleh itu dia harus bijaksana kerana manusia itu beranekaragam sifatnya. Manusia itu mempunyai potensi yang besar, daya pemikiran yang luas, kepentingan peribadi yang banyak , manusia juga mahu didengar pendapat, fikiran dan curahan rasanya. Segala keanekaragaman ini perlu dikendalikan dengan baik supaya "constructive" dan bukan "destructive".
Orang yang berpendidikan, dalam erti kata yang sebenar ialah orang yang mempunyai ilmu pengetahuan, kepakaran, sikap dan nilai yang baik yang menyumbang ke arah kebaikan. Ini bermakna guru besar (orang yang terdidik) faham benar tentang pendidikan. sekurang-kurangnya tujuh perkara pokok sudah jelas kepadanya:-
1. Pendidikan "mesti menjadikan manusia sebagai fokus perhatiannya" sebagai individu-individu yang tersendiri.
2. Pendidikan adalaj asas bagi pergerakan-pergerakan atau aktiviti-aktiviti lain.
3. Pendidikan mestilah sesuatu yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan dan perkembangan manusia.
4. Pendidikan membolehkan keupayaan manusia terserlah dengan berbagai rupa.
5. Pendidikan msetilah didasarkan kepada andaian bahawa manusia itu adalah makhluk yang mempunyain potensi yang sangat luas.
6. Pendidikan mestilah anjal dan boleh disesuaikan dengan kehendak dan kebolahan manusia.
7. Pendidikan moral dan latihan kemanusiaan mesti menjadi sebahagian daripada sifat sistem pendidikan kita.
Tujuh perkara yang disebut itu adalah isi pendidikan yang boleh diperluas dan diperkembang serta dijelmakan dalam berbagai bentuk mengikut kebijaksanaan guru besar sebagai orang yang terdidik.
selain dari arif mengenai pendidikan, seseorang guru besar juga adalah seorang profesional. Itu ciri yang mesti ada pada dirinya. Bila disebut profesional, bererti guru besar adalah pakar dalam bidangnya dan yakin akan keunggulan pekerjaan yang dijalankan kerana ciri-ciri profesional itu ialah kecekapan, komitmen, dedikasi, pengorbanan dan kepakaran. Ciri-ciri ini akan menjelma pada diri seorang guru besar yang bekerja dengan penuh minat, yang menganggap tugasnya sebagai satu amanah suci, yang setia kepada tujuan-tujuan tugasnya dengan mengamalkan etika kerja yang cemerlang. Ciri-ciri yang ada ini pula tidak dibiarkan tinggal statik. Dia akan terus meningkat kecemerlangan, menambah kemahiran-kemahiran baru, membawa sikap baru yang lebih positif. Dia tidak membiarkan kepentingan peribadi berkonflik dengan kepentingan tugas rasmi. Kedua-dua kepentingan diharmoniskan supaya tidak timbul krisis dalam diri dan dalam organisasi.
Seorang guru besar akhirnya ialah seorang pemimpin. Dan perkataan "memimpin" membawa gambaran sesuatu perbuatan yang lemah lembut, tidak kasar. Ini tepat dengan konsep kepemimpinan sebagai satu seni mendapatkan orang lain membuat sesuatu yang ingin disiapkan kerana orang itu ingin membuatnya. Untuk mendapatkan orang lain membuat sesuatu dengan rela hati pemimpin harus bijaksana, bermoral, adil, sabar dan tetap pendirian. Sesungguhnya sifat-sifat teras ini perlu ada pada seorang pemimpin kerana pada setiap sifat itu terkandung makna dan implikasi tersendiri. Gabungan sifat-sifat ini akan menjadikan pemimpin orang yang sangat unggul.
Sebagai contoh dalam perkataan "bermoral" itu sendiri terselit unsur disiplin. Bila disebut disiplin, timbul pula berbagai konotasi yang boleh disimpulkan, bahawa disiplin itu ialah kesanggupan diri seseorang menghormati dan mematuhi undang-undang dan peraturan, bekerja dengan cukup baik, menghormati hak individu lain, mengamalkan tingkah laku yang baik, menghormati sesama manusia, memperbaiki keadaan, bekerjasama dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
Nyata benar guru besar sangat perlu mempunyai dan memahami empat ciri asas guru besar, falsafah, pendidikan, profesionalisme dan kepemimpinan. Dia perlu peka kepada falsafah supaya dia dapat meneropong "vision", idealisme dan impian masyarakat. Dia perlu peka kepada pendidikan supaya dia tidak "obsolete" dan ketinggalan zaman. Dia perlu peka kepada profesionalisme supaya dia tahu apa yang dibuatnya. Dia juga perlu peka kepada kepemimpinan supaya dia dapat berhadapan dengan karenah manusia yang semakin rumit.
No comments:
Post a Comment