Monday, December 21, 2009

TEORI-TEORI KEPEMIMPINAN

Kepemimpinan adalah berasal dari perkataan pemimpin. Manakala pemimpin pula adalah berasal dari perkataan pimpin. Pemimpin adalah bermaksud orang yang memimpin (memegang tangan, membimbing, mendidik, mengasuh dan melatih). Dari perkataan pimpin tersebut diberi penambahan di awal dan di akhir perkataan pimpin tersebut maka akan lahirlah pelbagai perkataan yang akan memberi maksud ada sedikit kelainan.

Apabila kita memperkatakan tentang kepemimpinan maka sudah pasti banyak teori yang dikemukakan mengenainya. Terdapat teori-teori yang berasaskan sifat peribadi manusia yang mana dilihat pada "karisma" seseorang. Mereka ini dianggap mempunyai sifat-sifat peribadi tertentu yang dianggap sebagai pemimpin besar yang dapat menempa sejarah. Lagi pun terdapat anggapan bahawa sifat-sifat peribadi tertentu sahaja yang boleh menyebabkan kejayaan kepemimpinan.

Teori-teori seperti ini pada suatu ketika dahulu diterima oleh ramai orang kerana dilihat sebagai munasabah apabila didapati ramai pemimpin-pemimpin besar dunia mempunyai sifat-sifat peribadi dan kebolehan istimewa yang boleh menarik ramai orang menjadi pengikut mereka. Namun begitu teori-teori ini tidak dapat memberi penjelasan kepada persoalan-persoalan yang timbul apabila kajian-kajian mendalam dibuat mengenai kepemimpinan. Didapati sifat-sifat peribadi manusia seperti yang dinyatakan itu tidak semestinya menyebabkan sesuatu kepemimpinan itu berjaya.

Apabila teori-teori yang berasaskan "karisma" ini didapati lemah, timbul pula teori-teori kepemimpinan yang diasaskan kepada perhubungan manusia iaitu perhubungan antara pemimpin dengan orang bawahan. Teori-teori ini ingin menerangkan bahawa kelakuan dan perlakuan pemimpin boleh memberi kesan kepada kepuasan hati dan pelaksanaan tugas orang bawahan.

Kajian-kajian dibuat untuk mengenal pasti perlakuan-perlakuan ini dan didapati ada dua corak perlakuan pemimpin yang besar mempengaruhi orang bawahan;
1. Perhatian dan penekanan terhadap tugas untuk mencapai matlamat organisasi (task-orientasition).
2. Perhatian dan penekanan terhadap perhubungan baik antara pemimpin dengan orang bawahan (human-relations orientation).
Kajian-kajian di atas dua perlakuan ini membawa kepada kesimpulan bahawa pemimpin yang memberi perhatian berat kepada tugas dan orang bawahannya boleh membawa kejayaan kepada organisasinya. Oleh itu, pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang mengambil berat ke atas tugas dan orang bawahannya.

Satu lagi teori yang agak popular ialah Teori X dan Teori Y yang disarankan oleh Doughlas McGregor. Secara mudah, teori ini membuat dua set anggapan terhadap manusia.

Teori X menganggap bahawa:
1. Pekerja adalah semulajadinya malas dan akan mengelak dari bekerja kecuali dipaksa.
2. Pekerja tidak mempunyai cita-cita atau tidak mahu memikul tanggungjawab, sebaliknya mereka suka diarah dan dikawal.
3. Pekerja tidak mempunyai motivasi untuk menjayakan matlamat organisasi.
4. Pekerja hanya dirangsangkan untuk bekerja oleh keperluan-keperluan psikologi dan keselamatan mereka sahaja.

Teori Y menganggap bahawa:
1. Pekerja melihat kerja sebagai suatu perkara semulajadi, suatu perkara semulajadi, suatu perkara biasa sama seperti bermain dan lain-lain, kalau keadaan kerja itu baik. Manusia akan hanya menganggap kerja sebagai beban kalau pengalaman bekerjanya di masa lampau tidak menyenangkan.
2. Pekerja sememangnya mencari dan mahukan tanggungjawab kerana ia membawa kepada kepuasan jiwa.

Apa yang hendak diberitahu oleh McGregor ialah cara memimpin boleh menentukan perlakuan orang bawahan. Jika pemimpin menganggap orang bawahannya malas dan tidak bertanggung jawab maka orang ini lama kelamaan akan bersikap begitu. Sebaliknya jika pemimpin menganggap orang bawahannya sebagai manusia yang matang dan bertanggung jawab, maka mereka akan bersifat demikian.

Walaupun teori-teori kepemimpinan yang dibicarakan itu berbeza dari segi pendekatan, isi dan kesimpulan, semuanya mirip menyatakan ada satu sahaja yang terbaik untuk memimpin orang bawahan. Masing-masing mengemukakan cara mereka. Ada yang menyatakan kejayaan pemimpin bergantung kepada "karisma" seseorang. Ada yang menyatakan kejayaannya bergantung kepada kelakuan dan perlakuan yang tertentu. Ada pula yang menyatakan kejayaan bergantung kepada anggapan pemimpin terhadap orang bawahannya.

Apabila dilihat semua teori tersebut mempunya kelemahan masing-masing, timbul pula diantara yang banyak, satu kumpulan nteori yang agak popular, yang lebih menarik pandangan ramai disebabkan perbincangannya lebih dekat dengan keadaan dunia semasa yang beranekaragam. Teori-teori ini dinamakan Teori-Teori Kepemimpinan Mengikut Situasi (Situational Leadership Theories). Teori-Teori ini bermula dengan anggapan bahawa keadaan yang berbeza memerlukan cara memimpin yang berbeza, jika keberkesanan ingin diwujudkan. Rasionalnya ialah kepemimpinan yang berkesan bukan suatu yang nyata yang boleh wujud tersendiri dengan bentuk yang sama tetapi ianya bergantung kepada beberapa faktor lain, berupa manusia dan alam sekitar, yang saling berinteraksi dan saling mempengaruhi

Intipati kepada teori-teori tersebut ialah:
1. Cara memimpin yang berbeza boleh berkesan, bergantung kepada kematangan orang bawahan. Orang bawahan yang matang kurang memerlukan penyeliaan, manakala mereka yang kurang matang memerlukan arahan dari ketua.
2. Cara memimpin yang berbeza sesuai dalam keadaan yang berbeza. Cara yang paling baik hendaklah mengambil kira faktor-faktor penting sebelum sesuatu keputusan dibuat.
3. Tidak ada hanya satu sahaja cara pemimpin yang paling baik. Keberkesanan seseorang pemimpin bergantung kepada alam sekitar yang berupa manusia dan keadaan.
4. Pemimpin yang berkesan adalah mereka yang mendorong dan menunjuk jalan kepada orang bawahan untuk menghasilkan sesuatu yang paling baik.

2 comments:

Unknown said...

Salam Amalhaj. Selain kepimpinan Islam (tulen), sejarah membuktikan bahawa pemimpin autokratik dan berbentuk diktator lebih membawa kestabilan dan keharmonian (?) pada sesebuah negara. Contohnya Lenin, Castro, Nazi, Sukarno, suharto, Marcos dan di Malaysia Tun Mahathir Mohd. Kepimpinan berdasarkan demokrasi pincang dek kesamaan hak. Apakah pendapat tuan?

amalhaj said...

Mybabah:
autokratik dan demokratik adalah dua stail atau gaya kepemimpinan yang popular. kedua-dua stail ini mempunyai kekuatan dan kelemahan. kepemimpinan di sekolah selalunya mengamalkan kedua2 stail tersebut mengikut kesesuaian.