Saturday, December 12, 2009

MENGAPA BEGINI PUAN MUNIRAH?

Oleh:- Penjaga Kubur

Aku terbangun dari tidur pada petang itu apabila loceng pintu pagar di rumah berbunyi bertalu-talu. Aku lihat jam loceng di tepi katil menunjukkan angka 6.00 petang. Lama juga aku tertidur petang itu. Aku bangun dan melalui tingkap yang terbuka di sebalik langsir aku terpandang Puan Munirah (ibu Nabila Atisya) berdiri di situ. Aku kaget. Mengapa Puan Munirah berani datang ke rumah aku? Aku intai ke dalam keretanya, tiada pula Nabila Atisya di dalamnya. Sejak aku meninggalkan Puan Munirah sendirian pada majlis makan malam itu, ia selalu menelefon aku. Aku sengaja tidak melayani panggilan tersebut. Mungkin itu sebabnya dia berani datang untuk menemui aku.

Puan Munirah terus masuk ke rumah aku tanpa dipelawa. Dia terus duduk di sofa dan memerhati ruang tamu rumah aku. Aku masih berdiri di pintu yang sengaja tidak aku tutup. Sesekali aku menjeling ke arah rumah jiran aku. Jiran aku sudah tentu tiada di rumah kerana tingkap dan pintu rumahnya tertutup rapi. Selalunya waktu sebegini rumah jiran aku itu riuh dengan karenah anak-anaknya. Anak-anak jiran aku itu sering bertandang ke rumah aku. Mereka biasanya akan lama di "mini zoo" yang terdapat di sudut kanan hadapan rumah aku.

"Mengapa berdiri di situ, Arman?" Tanya Puan Munirah sambil menghadiah sebuah senyuman yang penuh manja kepada aku.
"Errr. Duduk sekejap ye. Saya ke dapur sekejap buatkan air." Balas aku yang masih gugup dan terus berlalu ke dapur. Aku lega kerana Puan Munirah terus di sofa sambil membaca majalah. Aku terus mengambil botol air "Peel Fresh" oren yang sememangnya sentiasa ada di dalam peti ais di rumah aku.
"Boleh saya tolong?" Tegur Puan Munirah yang tidak aku sedari telah berada di belakang aku. Hampir jatuh talam di tangan aku. Puan Munirah cepat-cepat mengambil talam yang ada di tangan aku sambil tangan Puan Munirah memegang jari aku. Hati aku gementar, penuh mulai memercik di tubuh aku. Puan Munirah memang sengaja berbuat demikian pada aku. Ini aku lihat di kala itu dia senyum sinis kepada aku.
"Maafkan saya." Pinta Puan Munirah sambil membawa talam yang berisi gelas dan botol minuman ke ruang tamu rumah aku. Aku mengekori di belakangnya bagai dipukau.

"Rajin Arman menghias rumah." Puji Puan Munirah sambil aku menghadiah senyuman yang agak tawar sebagai tanda terima kasih atas pujian tersebut.
"Jarang ada orang bujang yang rajin macam Arman." Puji Puan Munirah lagi.
"Bukan rajin, puan. Mungkin saya telah dididik oleh arwah ibu saya seperti ini." Balas aku merendah diri.
"Janganlah berpuan-puan dengan saya. Panggil saja Munirah, bukankah lebih mesra?" Balas Puan Munirah.
"Macam mana aku nak panggil Munirah? Panggil kakak pun boleh juga sebab umur dia lebih tua dari aku." Getus hati aku.
"Kemana adik-adik Arman?" Tanya Puan Munirah memecah kesunyian seketika tadi.
"Ooo, Armina dah balik ke kolej pagi tadi, begitu juga dengan Armin." Balas aku sambil menguk air oren.

Arwah ayah dan ibu aku telah meninggalkan tiga orang anak. Arman iaitu aku sebagai abang yang sulung, Armina, adik perempuan aku dan Armin adik lelaki aku. Armina adalah bakal seorang doktor dan sedang mengikuti "A-Level" di Kolej Perubatan Perak di Ipoh. Manakala Armin pula akan menghadapi SPM pada tahun ini. Kedua-dua mereka amat aku sayang tambahan Armin yang langsung tidak pernah mendapat kasih sayang seorang ibu. Ibu aku meninggal dunia semasa melahirkan Armin. Ini diikuti oleh ayah aku sebulan kemudian.

"Assalamualaikum!" Aku terdengar suara orang memberi salam di hadapan rumah aku. Aku ke pintu dan aku lihat beberapa orang lelaki berada di hadapan rumah aku. Aku panik dan hampir terjatuh di pintu. Tambahan pula lelaki-lelaki tersebut semuanya memakai kopiah putih.

No comments: