Friday, December 11, 2009

PANDUAN MUSAFIR

CARA MELAKSANAKAN SOLAT QASAR DAN JAMAK
1. SOLAT QASAR
Qasar ialah memendekkan solat yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat hanyalah solat Zohor. Asar dan Isyak.

Syarat-syarat untuk melaksanakan solat Qasar:-
1. Perjalanan atau musafir yang diharuskan oleh syarak atau bukan kerana membuat maksiat. Termasuk dalam kategori maksiat adalah musafir seorang wanita yang tiada mendapat keizinan daripada suami.

2. Perjalanan atau musafir yang lebih dua marhalah.

3. Niat solat Qasar semasa takbiratul ihram.

4. Solat yang terdiri daripada 4 rakaat (Zohor, Asar dan Isyak).

5. Berkekalan musafir (masih dalam musafir) sehingga selesai atau sempurna solat.

6. Tidak boleh mengikut orang atau jemaah yang solat tamam (solat yang sempurna 4 rakaat)

7. Mengetahui bahawa orang yang musafir itu diharuskan solat Qasar. seseorang yang ingin melakukan solat Qasar sewajarnya mendalami ilmu bagaimana untuk melakukannya bukan setakat ikut-ikut sahaja.

8. Perjalanan tertentu arah tujuannya. Sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, solat tidak boleh diqasarkan. Misalnya seseorang bermusafir untuk mencari temannya yang tidak diketahui tempatnya dan berniat akan pulang setelah menemui temannya itu maka tidak harus baginya untuk solat Qasar meskipun perjalanannya melebihi 2 marhalah.

9. Solat Qasar hanyalah harus dilakukan setelah masuk kawasan yang dikira musafir. ini bermakna seseorang yang masih belum memulakan perjalanan tidak boleh solat Qasar di rumah sebelum berangkat. Imam Syafie mensyaratkan bahawa untuk melakukan solat Qasar hendaklah melepasi sempadan kampung halamannya. Contohnya bagi mereka yang tinggal di Kuala Kangsar harus menjamak dan mengqasarkan solatnya setelah melepasi sempadan Majlis Perbadaran Kuala Kangsar sebelum meneruskan perjalanannya sama ada ke utara atau selatan

NOTA
Kalau mengikut imam yang sedang melaksanakan solat tamam (sempurna), wajib ditamamkan solat kita. Orang yang solat tamam boleh berimamkan (mengikut) orang yang solat Qasar.

2. SOLAT JAMAK
Solat jamak ialah menghimpunkan dua solat fardhu dalam satu waktu misalnya menghimpunkan solat Zohor dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan solat Isyak sama ada jamak taqdim atau jamak taakhir.

Seseorang yang ingin solat jamak (taqdim atau taakhir) hendaklah keluar dari rumahnya sebelum masuk waktu Zohor (jika ia berhajat untuk menjamak solat Zohor dan Asar) atau keluar sebelum masuk waktu Maghrib (jika ia berhajat untuk menjamak solat Maghrib dan Isyak).

No comments: