Tuesday, December 22, 2009

AKU LUPA DAN DIA PUN LUPA

Pada suatu ketika dahulu Juha telah dikenali ramai sebagai seorang yang alim dan ahli hadis. Maka pada suatu hari orang ramai pun telah pergi je rumah Juha beramai-ramai untuk mengujinya: "Wahai Syeikh Juha, kami sudah lama mendengar yang kamu ini seorang yang alim dan juga seorang ahli hadis tetapi kami tak pernah dengar pun kamu membaca sepotong hadis di depan khalayak?".

Maka Juha pun berkata dengan penuh tenang: "Demi Allah, apa yang kamu katakan itu memang betul. Dan sesungguhnya kalau kamu ingin tahu bahawa tidak ada seorang pun yang telah mendengarnya hadis seperti mana yang telah aku mendengarnya sendiri dari seorang sahabat yang bernama Ikrimah. Hadis tersebut beliau riwayat terus daripada Rasulullah s.a.w."

Lalu orang ramai pun bertanya: "Kalau begitu kamu bacakanlah kepada kami hadis tersebut kerana kami mahu mendengarnya".

Tanpa berlengah Juha pun mula membaca: "Sesungguhnya Ikrimah bin Ibnu Abbas r.a. telah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang berbunyi: "Dua perkara yang tidak sepatutnya ada pada diri orang mukmin." " lalu Juha berhenti di situ.

Orang ramai pun tidak berpuas hati lalu bertanya lagi: "Apa dia dua perkara tersebut? Beritahulah kami!"

Juha berfikir sebentar lalu berkata: "Oh, aku minta maaflah sebab aku terlupa yang pertama."

Orang ramai pun berkata: "Tidak mengapalah yang pertama kamu lupa tetapi kami ingin tahu pula apa yang kedua?"

Berkata juha penuh tenang: "Oh, yang kedua itu si Ikrimah pula yang terlupa."

No comments: