Wednesday, December 30, 2009

NILAI DALAM KEBERSIHAN

Kebersihan merupakan satu ciri yang perlu wujud dalam kehidupan manusia yang menjalankan semua urusan. Ia merangkumi aspek rohani dan jasmani. Islam menekankan "kebersihan" pakaian, bangunan dan kawasan. Disamping itu kebersihan juga perlu dalam urusan-urusan pemilikan harta dan pentadbiran. Konsep kebersihan yang menyeluruh ini merupakan salah satu "nilai" yang sangat penting untuk diamalkan kerana dari kebersihan ini akan terbentuklah persekitaran dan masyarakat yang sihat.

Pegawai Tadbir yang menjalankan segala urusannya dengan bersih sudah tentu akan dihormati dan disegani. Sebaliknya pegawai yang rasuah, mementingkan diri dan sebagainya akan dipandang jijik dan hina. Dari segi fizikal pula kebersihan sangat diperlukan. Ia dapat menjauhkan penyakit dan menyenangkan mata memandang. Ada tempat kerja pula memerlukan tahap kebersihan yang sangat tinggi untuk mempastikan hasil yang memuaskan seperti bilik makmal bahan radiaktif, bilik-bilik makmal yang lain , bilik rawatan dan sebagainya.

Kerja-kerja pejabat seperti penyediaan laporan, minit mesyuarat, kerja-kerja percetakan juga seharusnya dilaksanakan dengan bersih dan kemas. Keadaan ini boleh membantu meninggikan produktiviti kerana suasana pejabat yang kotor dan kerja-kerja yang tidak kemas boleh membuntukan fikiran dan mengganggu kelancaran kerja.

Oleh itu, kebersihan dalam semua aspek sangat-sangat diperlukan bagi semua kumpulan kerja yang ingin berjaya.

KISAH DAN TELADAN

Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa pada suatu hari datang seorang hamba Khalifah Abu Bakar As-Siddiq membawa makanan untuk dihidangkan kepada baginda. Setelah baginda selesai memakannya, hamba itu berkata kepadanya: "Tahukah tuan dari mana saya ambil makanan ini, wahai Khalifah Rasulullah s.a.w.?".

Lantas Khalifah Abu Bakar r.a. bertanya: "Dari mana engkau ambil makanan ini?".

Hamba itu pun menjawab: "Pada zaman jahiliah dahulu saya pernah menyamar sebagai seorang tabib dan mengubat orang sakit. Pada hari ini ia berjumpa dengan saya dan memberi kananan ini."

Apabila mendengar kata-kata daripada hambanya itu, Khalifah Abu Bakar r.a. pun memasukkan tangannya ke dalam mulut hingga baginda muntah untuk mengeluarkan makanan yang baru dimakan sebentar tadi. Khalifah Abu Bakar pun menyatakan: " Demi Allah, seandainya makanan itu tidak keluar dengan cara tersebut nescaya aku akan mengeluarkan dengan cara yang lain. Ini kerana aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Setiap tubuh yang membesar dari makanan haram maka patutlah ia disentuh oleh api neraka."

No comments: