DASAR PENDIDIKAN NEGARA
Setelah memahami segala dasar-dasar yang telah dicipta, guru besar harus kembali meneliti dasar profesionnya iaitu Dasar Pendidikan Negara. Guru besar sebagai pendidik seharusnya sentiasa ingat kepada dasar yang didukungnya ini kerana ia menjadi landasan perkhidmatannya.
Dasar tersebut ialah, suatu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memenuhi keperluan negara serta memajukan kebudayaan, sosial, ekonomi dan perkembangan politik.
Dasar tersebut jelas dapat dilihat menjadi asas perpaduan dan pembangunan negara selaras dengan kehendak Rukun Negara. Lebih jauh, konsep identiti dan perpaduan ini diperlihatkan dalam Matlamat Pendidikan. Untuk merealisasikan semua itu, dasar ini dijadikan panduan bagi perkembangan kurikulum yang menekankan daya pemikiran dan kemahiran sosial bersesuaian dengan umur dan kematangan kanak-kanak sejajar dengan keperluan negara. Dari dasar ini lahir pula Falsafah Pendidikan Negara.
FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
Falsafah pendidikan yang menjadi asas dan sumber segala usaha dalam bidang pendidikan dinyatakan seperti berikut:-
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bettanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."
Falsafah Pendidikan Negara tersebut dibuat secara umum. Untuk lebih jelas, beberapa perkara di dalamnya perlu dihuraikan.
1. PENDIDIKAN SEBAGAI USAHA BERTERUSAN
Segala kegiatan pendidikanberjalan terus menerus dibuat secara meluas dan tidak terhad di mana-mana peringkat sama ada rendah, menengah atau tinggi. Kalau diperluaskan lagi, ia mencakupi konsep Pendidikan Seumur Hidup.
2. PERKEMBANGAN POTENSI
Bakat dan kebolehan yang ada pada diri seseorang individu diasah, diasuh, dipertingkat dan dimajukan.
3. MENYELURUH DAN BERSEPADU
Pendidikan bersepadu ialah proses pembentukan pelajar dari segi penguasaan ilmu, pemupukan nilai-nilai murni dan perkembangan jasmani yang dilakukan secara serentak dan menyeluruh, bukan berasingan.
MATLAMAT UMUM
secara umum, matlamat pendidikan adalah untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Insan yang seimbang dimaksudkan dengan manusia yang baik, sempurna dan rasional yang mempunyai ciri-ciri kemanusiaan yang sama rata, tidak berat sebelah. Insan yang seimbang biasanya dilambangkan oleh seorang manusia yang tenang dalam segala tindakannya.
MATLAMAT KHUSUS
Berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Negara, jelas matlamat khusus pendidikan adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Secara terperinci matlamat itu boleh dinyatakan seperti berikut untuk aspek-aspek yang berlainan:-
1. INDIVIDU
Untuk memupuk perkembangan yang seimbang dari segi fizikal, mental, emosi, moral dan bakat estatika.
2. SOSIAL
Untuk membolehkan setiap orang mengerti dengan lebih mendalam terhadap warisan ekologi dan kebudayaan, nilai dan amalan, tekanan dan cabaran masyarakat bagi membolehkannya berfungsi sebagai seorang warganegara.
3. EKONOMI
Untuk memajukan sumber tenaga manusia supaya seseorang itu boleh menjadi perancang, pengeluar serta pengguna yang mahir, rasional dan bertanggungjawab bagi kesejahteraan diri dan negara.
4. POLITIK
Untuk memupuk ke dalam diri setiap orang, fahaman tentang idealisme demokrasi berperlembagaan, patriotisme kepada negara, hak dan tanggungjawab sebagai warganegara.
5. NILAI SEJAGAT
Untuk menggalakkan rasa persefahaman antarabangsa dalam diri setiap individu melalui pengajian sejarah, geografi, sosiologi, ekonomi dan politik negara-negara lain.
OBJEKTIF PENDIDIKAN
Rancangan pembangunan pendiikan jangka pendek dan jangka sederhana menekankan kepada objektif-objektif yang lebih mendesak. Ini jelas diperhatikan dalam objektif-objektif kurikulum bagi berbagai peringkat pendidikan:-
1. Untuk mempastikan semua rakyat boleh membaca, menulis dan mengira
2. Untuk melengkapkan kanak-kanak dengan kemahiran intelek dan psikologi yang perlu serta tabiat kerja yang betul
3. Untuk memupuk sikap yang sesuai terhadap kemuliaan pekerjaan. hormat dan cinta kepada sesama manusia dan bertanggungjawab kepada negara
4. Untuk menyuburkan warisan dan kebudayaan kebangsaan
5. Untuk membentuk satu moral budi pekerti individu yang boleh diterima oleh masyarakat dan selaras dengan kepercayaanagama.
Di peringkat rendah, penekanan diberi kepada kemahiran asas iaitu mambaca, menulis dan mengira. Kurikulum itu kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada bidang-bidang lain: konsep sosial, kebudayaan, sains, kemahiran dan sikap yang diperkayakan melalui muzik, senilukis dan kerjatangan, Kemahiran sosial dan sikap diperkukuhkan melalui berbagai aktiviti sekolah seperti perhimpunan, kerja kumpulan, persatuan dan permainan.
Di peringkat menengah, kurikulumnya adalah lanjutan dari kurikulum sekolah rendah tetapi dimajukan menjadi lebih tinggi. Di sini pendidikan umum diadakan melalui tiga bidang:-
1. perhubungan manusia
2. persekitaran sosial dan fizikal
3. minat individu
Dalam peringkat ini, aspek kemahiran hidup dan amali diberi pertimbangan sewajarnya. Oleh yang demikian, pendidikan menengah adalah menyeluruh. Pendidikan peringkat tinggi disusun ke arah memenuhi kedua-dua kehendak sosial dan keperluan tenaga manusia negara.
No comments:
Post a Comment