Thursday, December 17, 2009

MUNIRAH OH MUNIRAH

oleh:- penjaga kubur.

"Adakah patut menyuruh aku memanggilnya Munirah?" Bisik hati kecil aku.
"Puan Munirah! Puan Munirah." rungut aku lagi sambil aku masih berada di katil. Aku terus mencapai jam tangan dan aku lihat telah hampir pukul 8.30 pagi.
"Baik aku bangun, nanti terlepas pula sarapan pagi." Hati aku terus berkata-kata sambil aku mencapai tuala dan terus ke bilik air.

Aku memilih meja yang betul-betul menghadap ke laut untuk bersarapan. Di sebelah kanan aku terbentang kolam renang yang di dalamnya terdapat beberapa orang kanak-kanak sedang mandi sambil berenang keriangan. Sungguh indah hidup sebagai seorang kanak-kanak. Tiba-tiba aku terasa ingin kembali ke alam kanak-kanak tersebut.

Setelah bersarapan, aku turun ke pantai untuk menikmati keindahan laut di waktu pagi. Perlahan-lahan aku menyusur pantai yang putih bersih. Inilah keistimewaannya pantai di Malaysia ini yang masih banyak tempat yang tidak tercemar. Mungkin aku bernasib baik kerana hotel tempat aku menginap masih lagi dapat menjaga pantai di sekitarnya.

"Apa yang Puan Munirah sedang buat sekarang?" Tiba-tiba hati aku tertanya-tanya. Aku mulai resah. Mengapa aku tiba-tiba mengingati Puan Munirah? Aku ke sini pun adalah untuk lari darinya. Masuk hari ini sudah hampir seminggu Puan Munirah tidak berjumpa dengan aku. Sengaja aku tidak melayani panggilan telefon darinya yang bertalu-talu itu.

"Arman! Arman!" Aku terdengar nama aku dipanggil. Aku tertoleh-toleh mencari siapakah yang memanggil aku. Aku ternampak seorang perempuan melambai-lambai tangan ke arah aku. Aku menghala perjalanan aku ke arahnya. Aku lihat ada seorang lelaki dan dua orang kanak-kanak bersamanya.

"Oooo, kamu rupanya Dalila. Eh! Zaki pun ada sama." Aku memekik kegembiraan kerana sudah lama tidak berjumpa mereka. Aku kira hampir lapan tahun kami tidak berjumpa.
"Arman, ini aku kenalkan suami aku." Dalila memperkenalkan suaminya. Aku ketawa hingga membuat Dalila kehairanan.
"Mengapa ketawa begitu." Sambung Dalila.

"Zaki ni kawan kecil-kecil lagi. Tak sangka pula kamu berdua kahwin. Zaki pun tak nak jemput aku." Balas aku dan kami sama-sama ketawa.
"Semakin kecil dunia ini." Kata Zaki.

"Ni anak kamu ke?" Aku bertanya apabila terpandang kedua-dua kanak-kanak tersebut hairan melihat tingkah laku ibu bapa serta aku.
"Ya, mereka itu adalah zuriat kami." Balas Zaki sambil tersenyum megah. Aku terpukul kerana dalam usia mereka yang sama dengan aku telah pun mempunyai dua orang anak.

"Kamu bila lagi?" Tanya Dalila sambil mendukung anaknya yang kecil.
"Sepatutnya kamu pun serupa kami dah ada anak." Sambut Zaki pula. Aku hanya boleh tersenyum tanpa boleh berbicara apa-apa.
"Belum ada jodoh." Keluh aku perlahan-lahan.

No comments: