Pendidikan adalah alat yang sangat penting dalam perkembangan manusia dan pembangunan serta kemajuan negara Malaysia. Oleh kerana itu, guru besar sebagai pengurus dan pentadbir pendidikan di sekolah, secara langsung mempunyai tugas yang penting dan tanggungjawab yang besar. Ini bermakna seorang guru besar, walau di sekolah kecil sekali pun memberi sumbangan terhadap pembangunan negara kerana pendidikan yang diurusnya itu akan menghasilkan manusia yang akan memajukan negara.
Berdasarkan kepada huraian di atas, guru besar mesti faham akan aspirasi negara. Guru Besar perlu tahu Dasar Negara, Dasar Pendidikan Negara, Falsafah Pendidikan Negara dan Matlamat Pendidikan Negara. Guru besar harus jelas apa yang matlamat negara sebenarnya. Ini adalah mustahak agar dalam segala tugas yang dijalankan, dia sentiasa ingat kepada matlamat sebenar yang hendak dicapai.
IDEOLOGI KEBANGSAAN
Dasar-dasar yang dibentuk dalam pelbagai bidang adalah berpandukan Ideologi Kebangsaan. Ideologi ini secara jelas dinyatakan dalam Rukun Negara.
Bahawasanya negara kita Malaysia:-
* mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat
* memelihara satu cara hidup demokratik
* mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama
* menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
* membina satu masyarakat yang progresif yang menggunakan sains dan teknologi moden
Maka kami rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:-
* kepercayaan kepada Tuhan
* kesetiaan kepada Raja dan Negara
* keluhuran Perlembagaan
* kedaulatan Undang-Undang
* kesopanan dan kesusilaan
Tujuan-tujuan penting Rukun Negara ialah untuk mewujudkan:-
1. Satu masyarakat yang beragama dan percayakan Tuhan
2. Sebuah negara bermasyarakat majmuk yang bersatu padu
3. Satu masyarakat demokratik melalui sebuah Parlimen yang dipilih mengikut Perlembagaan
4. Satu masyarakat yang adil dengan peluang-peluang yang sama untuk semua
5. Satu masyarakat liberal dengan tradisi kebudayaan yang berbagai corak
6. Satu masyarakat progresif yang berorientasikan sains dan teknologi moden.
Untuk mencapai matlamat-matlamat itu, dasar-dasar telah dibentuk iaitu Dasar Pembangunan Negara, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Pertanian Negara, Dasar Kebudayaan Negara, Dasar Pengswastaan dan lain-lain. Strategi ini dibuat dengan tujuan membangunkan rakyat Malaysia dalam semua bidang dan menyusun semula masyarakat supaya akhirnya satu bangsa Malaysia baru dapat diwujudkan.
Pada tahun 1991, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dr. Mahathir Mohamed telah mencetuskan satu memikiran baru yang dengan sekaligus merangkumi dan menjelaskan dasar-dasar yang terdahulu. Ideal ini yang dikenali sebagai Wawasan 2020 akan menjadi panduan untuk Malaysia bergerak menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
No comments:
Post a Comment