DALIL-DALIL YANG MENGHARUSKAN SOLAT JAMAK
Dalil mengharuskan solat jamak taqdim dan taakhir berdasarkan sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Mu'az bin Jabal yang bermaksud:-
"Daripada Mu'az bahawa Nabi s.a.w. semasa di dalam peperangan Tabuk apabila gelincir matahari sebelum memulakan perjalanan, Baginda s.a.w. menjamakkan solat Zohor dengan Asar dan apabila Baginda s.a.w. memulakan perjalanan sebelum gelincir matahari, ditaakhirkan solat Zohor hingga sampai ke waktu Asar, solat Maghrib demikian juga, jika sekiranya telah terbenam matahari sebelum perjalanan maka dijamakkan solat Maghrib dengan Isyak dan jika perjalanan sebelum terbenam matahari maka dilewatkan solat Maghribnya hingga ke waktu Isyak dan beliau akan berhenti lalu menyelesaikan solat Isyak dan Maghrib."
Riwayat Abu Daud dan Termizi.
HIKMAH DIHARUSKAN SOLAT QASAR DAN JAMAK KETIKA MUSAFIR
Di antara hikmah yang diharuskan adalah:-
1. Untuk meringankan beban susah payah perjalanan iaitu kerumitan atau kesulitan sama ada dari segi masa, suasana, tempat yang dilalui oleh seseorang yang musafir.
2. Untuk memudahkan seseorang yang musafir itu melaksanakan hak-hak Allah s.w.t. dengan sempurna.
3. Untuk menggalakkan perlaksanaan fardhu-fardhu yang diwajibkan ke atas seseorang yang musafir dan memudahkan untuk melaksanakan kerja-kerja dan tanggungjawab-tanggungjawab lain.
4. Menolak alasan sesorang yang musafir itu tidak perlu bersolat kerana sibuk, letih dan sebagainya dengan keringanan solat qasar yang telah diizinkan oleh syarak.
No comments:
Post a Comment