Melalui teori kepemimpinan kita akan dapat melihat keadaan manusia yang berbagai jenis dan juga berbagai ragam. Oleh itu, keadaan pemimpin juga begitu yang mana stail atau gaya kepemimpinan mereka juga beraneka bentuk. Untuk memudahkan secara kasar terdapat dua stail atau gaya kepemimpinan yang popular iaitu stail atau gaya autokratik dan stail atau gaya demokratik.
1. Stail Autokratik:
Seseorang autokratik percaya kuasa membuat keputusan mesti dipegang oleh pemimpin. Dia memberi perintah dan pengikut mesti patuh kepada arahan yang diberi tanpa soal.
2. Stail Demokratik:
Pemimpin bersorak demokratik biasanya membincangkan sesuatu hal dengan orang bawahannya. Dia juga menurunkan kuasanya kepada mereka dan memberi kelonggaran untuk membuat sesuatu keputusan mengikut kebijaksanaan mereka.
Implikasi-Implikasinya:
Walaupun kedua-dua stail atau gaya kepemimpinan ini begitu popular namun begitu ia tetap mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Stail autokratik dapat mempastikan tugas-tugas yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sempurna oleh mereka yang dipertanggungjawabkan tetapi orang-orang bawahan yang diarahkan ini mungkin tidak mengetahui mengapa sesuatu itu dibuat. Ini menyebabkan minat dan semangat bekerja mereka lemah. Mereka pula akan mengikut sahaja arahan, walaupun yang dibuat itu ternyata salah. Akhirnya apabila ada apa-apa kesilapan, mereka akan lepad tangan dan tidak mahu bertanggungjawab. ketualah yang memikul beban itu. Itulah sebabnya stail autokratik itu dikritik. Di suatu pihak ia menyenangkan pemimpin tetapi di pihak yang lain ia memberi kesempatan untuk orang mengelakkan diri dari tanggungjawab, tidak berinisiatif dan tidak kreatif.
Stail demokratik pula biasanya boleh memberansangkan orang-orang bawahan kerana mereka merasakan diri mereka dihargai dan dipercayai. dengan itu mereka akan bekerja dengan lebih dedikasi. Walau bagaimanapun stail ini pun ada kelemahannya. Orang-orang bawahan yang diberi tugas mungkin tidak dapat dan tidak mahu membuat sesuatu keputusan yang diharapkan dan diperlukan. Ia juga tidak menjamin tugas dibuat dengan lebih banyak atau lebih baik.
Adalah dipercayai oleh ramai penyelidik bahawa pemimpin yang menggunakan stail demokratik mempunyai orang-orang bawahan yang merasa lebih berpuas hati dengan tugas-tugas mereka, Tetapi kepuasan hati tidak menjamin apa yang mereka lakukan akan memberi penghasilan yang lebih banyak. Begitu pula pemimpin autokratik mungkin mempunyai orang-orang bawahan yang merasa tidak puas hati tetapi ini tidak bermakna penghasilan mereka akan berkurangan.
Berikutan dari itu timbul satu pernyataan yang selalu dikemukakan mengenai kejayaan seseorang pemimpin. Apakah yang membentuk pemimpin? Adakah pemimpin menempa sejarah atau sejarah membentuk pemimpin? Tidak ada sesiapa yang boleh memberi jawapan yang jelas dan tepat. Dalam banyak hal dan keadaan, sifat-sifat yang ada pada seseorang pemimpin itu berinteraksi dengan keadaan sekeliling bagi menentukan keberkesanannya.
Kedua-dua stail itu boleh berkesan kalau kena caranya. Bagitu pula sebaliknya. Pemimpin boleh memilih stail mana yang sesuai untuk diri mereka atau boleh juga memilih ciri-ciri yang baik dari keduanya dan mempraktikkannya di mana yang sesuai. Mungkin yang baik ialag stail dipilih mengikut keadaan.
Dalam situasi yang sebenar iaitu yang berlaku secara harian, stail kepemimpinan tidaklah ketat (rigit) berada pada satu-satu tahap, sama ada demokratik atau autokratik. Ia kebiasaannya berada dalam satu "kontinuum" antara kedua-duanya.
Situasi dan Kesesuaian
Walaupun tidak ada stail yang terbaik bagi menghadapi sesuatu situasi, pemimpin boleh memikirkan tindakan yang paling sesuai untuk sesuatu keadaan.
Contohnya:-
1. Situasi kritis:
Dalam keadaan kritis, stail autokratik biasanya sesuai. Keputusan yang tepat dan tegas diperlukan. Situasi yang memerlukan kepakaran memerlukan stail kepemimpinan yang juga seorang pakar perlu bersikap mengarah kerana orang lain tidak tahu.
2. Situasi kerja harian:
Dalam situasi itu stail demokratik adalah sesuai, Dalam apa jua keadaan, paling penting ialah kebijaksanaan pemimpin untuk menilai keadaan dan pembuat keputusan. Kebijaksanaan ini adalah berdasarkan ilmu yang diperolehi secara formal atau tidak formal dan selaras dengan pemikiran. Kalau ini dibuat, kesilapan dapat dikurangkan.
No comments:
Post a Comment