Thursday, December 31, 2009

ADEKE MENGKOME BEGINI?

Setiap manusia mempunyai berbagai-bagai pemberian (nikmat) dari Allah s.w.t. Pemberian-pemberian asas yang biasanya diperolehi oleh setiap orang adalah kesihatan, penglihatan, pendengaran dan berbagai-bagai lagi pemberian semula jadi yang diberikan oleh Allah s.w.t.

Selain daripada itu sebagai seorang anggota masyarakat sudah tentu ia memperolehi beberapa kemudahan yang jika dihitung maka sudah tentu ia akan mendorong seseorang itu untuk "bersyukur" atau "berterima kasih". Sikap suka berterima kasih dapat memberikan kesedaran tentang banyaknya sumbangan yang diperolehi daripada orang lain.

Oleh itu, sebagai seorang yang telah menerima nikmat dan pemberian, maka adalah wajar ia mengucapkan syukur. Rasa kesyukuran yang dilafazkan itu boleh menggerakkan seseorang itu untuk melipatgandakan usahanya dalam sesuatu bidang pekerjaan.

Sikap bersyukur ini amat penting dimiliki oleh semua anggota perkhidmatan awam. Adanya perasaan syukur terhadap nikmat kerja yang diberikan oleh Allah s.w.t. ini akan menjadikan kita lebih tabah menghadapi sebarang pekerjaan, tidak mudah mengeluh, gelisah atau naik radang terhadap masalah-masalah yang dihadapi dan menunjukkan reaksi yang negatif kepada setiap perkara yang tidak menyenangkan dalam pekerjaannya.

KISAH DAN TELADAN

Dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w., Baginda sentiasa memberikan contoh yang baik bagaimana menghargai jasa-jasa pembantu rumah sebab mereka itu bukanlah hamba. Dalam rumah tangga Baginda sendiri terdapat beberapa orang pembantu rumah yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Antara mereka itu ialah Anas Zar Al-Ghifari, Nu'aim bin Rabi'ah, Ummu Aiman, Khaulah, Salmah dan beberapa orang lagi.

Mereka semuanya turut menolong menguruskan keperluan keluarga Rasulullah s.a.w. dengan penuh kesetiaan. Begitu juga keluarga Rasulullah s.a.w. menghargai mereka dengan dengan penuh kasih sayang.

"Wahai anakku," itulah panggilan Rasulullah s.a.w. apabila berkata atau menyuruh Anas bin Malik kerana dia termasuk yang paling kecil umurnya. Kadang-kadang Baginda sediakan waktu untuk memberi pengajaran kepada mereka hingga mereka banyak mengetahui hadis dan ilmu agama. Malah kedudukan mereka cukup tinggi dalam masyarakat kerana merekalah orang yang paling banyak mengetahui hal -hal dalam rumah tangga Rasulullah s.a.w.. Mereka sangat amanah memegang rahsia, sekiranya ada sesuatu yang dianggap rahsia.

"Ya Allah, Engkau berilah Anas rezeki, anak yang soleh dan berkatilah hidupnya," doa Rasulullah s.a.w. kepada Anas bin Malik. "Siapa yang hendak melihat rendah hati Isa bin Mariam maka lihatlah kepada Abu Zar Al-Ghifari," demikianlah tingginya perhargaan Rasulullah s.a.w. kepada beliau.

Rasulullah s.a.w. bersyukur kepada Allah s.w.t. atas khidmat pembantu-pembantu rumah Baginda. Sebagai tanda syukur, Baginda telah memberi layanan yang baik dan Baginda tidak pernah berkasar, apa lagi menyakiti hati mereka.

No comments: